1.         PENGENALAN 
 Bagi melicinkan program pemulihan dan rawatan, bahagian ini dibahagi kepada dua seksyen, iaitu Seksyen Pemulihan dan Seksyen Rawatan. Seksyen Pemulihan bertanggungjawab merangka dasar-dasar program pemulihan seperti pendidikan, kemahiran dan layanan terhadap banduan dan tahanan (penghuni). Sekysen Rawatan pula bertanggungjawab merangka dasar-dasar program rawatan seperti kesihatan, rawatan dan keagamaan terhadap penghuni penjara. 
 2.         SEKSYEN PEMULIHAN 
 Salah satu peranan utama Jabatan Penjara Malaysia ialah memberi latihan pemulihan kepada penghuni semasa mereka menjalani hukuman supaya menjadi rakyat yang berguna dan bertanggungjawab apabila kembali ke pangkuan masyarakat. Bagi mencapai maksud tersebut berbagai aktiviti-aktiviti pemulihan telah dijalankan oleh unit-unit di bawah seksyen pemulihan. 
 Seksyen ini mengandungi 3 seksyen utama iaitu :
 i.         Seksyen Pembangunan Insan
 ii.       Seksyen Layanan
 iii.      Seksyen Kemahiran
 2.1       Seksyen Pembangunan Insan
 i.          Unit Akademik
 Dalam bidang akademik, Jabatan Penjara telah berusaha memberi pendidikan kepada penghuni yang  memerlukannya dengan menyediakan guru-guru akademik. Bagi penghuni yang tercicir dan berhajat untuk menyambung pelajaran, segala kemudahan akan disediakan oleh Jabatan Penjara bagi membantu golongan ini. Guru-guru kontrak dan guru-guru daripada jawatan kader Kementerian Pendidikan telah diambil bagi tujuan memberi khidmat menyambung pendidikan kepada para juvana dan banduan muda khasnya dan banduan umumnya.
 ii.          Unit Sahsiah
 Berperanan untuk memastikan perjalanan program pembangunan insan berjalan mengikut garis panduan yang ditetapkan khususnya dalam Fasa I dan Fasa II. Disamping itu mengurus dan memastikan pesalah diagihkan dan diberikan aktiviti mengikut kecenderungan, masalah dan latarbelakang. serta memantau asas latihan dan praktikal pesalah.
 iii.         Unit Integrasi
 Memastikan setiap penghuni yang menjalani hukuman mengikuti program pemulihan sepertimana yang ditetapkan, merancang program–program kemahiran hidup dalam bidang pembuatan, perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian, penternakan dan lain – lain yang boleh digunakan selepas dibebaskan. Menyelaras perlaksanan program oleh semua institusi penjara bagi tujuan mengeratkan semula jalinan kekeluargaan dan masyarakat. Menyelaras pelaksanaan program–program kemasyarakatan dalam usaha mewujudkan peluang kepada penghuni untuk menyumbang dan berbakti kepada masyarakat. 
 2.2       Seksyen Layanan 
 i.          Unit Hak Asasi 
 Bertanggungjawab memastikan layanan yang profesional berlandaskan nilai-nilai kemanusian secara adil dan saksama sebagai kor bisnes jabatan selain daripada penahanan, keselamatan dan pemulihan. Memastikan permelakuan ke atas setiap penghuni yang menjalani tempoh penahanan hingga dibebaskan berdasarkan keperluan yang ditetapkan dalam prisip layanan UNHCR dan seperti yang termaktub dalam akta dan peraturan penjara. Memastikan banduan diberi layanan sewajarnya berlandaskan maruah dan nilai kemanusiaan. Memastikan tiada diskriminasi terhadap perbezaan bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama dan fahaman politik dan lain-lain. 
 ii.          Unit Kebajikan
 Kehidupan manusia tidak pernah terlepas dari belenggu masalah, maka banduan-banduan yang tinggal di penjara juga menghadapi masalah-masalah yang sama. Di antaranya adalah masalah-masalah besar yang lazim dihadapi oleh mereka adalah masalah peribadi, keluarga dan majikan.
 Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Penjara bagi menguruskan hal-hal tersebut dengan sebaik mungkin. Dalam hal ini, pegawai-pegawai kebajikan samada diperingkat Ibu Pejabat ataupun di peringkat institusi diberi tanggungjawab untuk mengendalikan urusan penghuni dengan harapan akan memberi kesan positif terhadap banduan kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan jiwa di kalangan banduan dan mempastikan pengurusan penjara berjalan dengan baik dan terkawal. 
 2.3       Seksyen Kemahiran 
 Memastikan pelaksanaan pembelajaran  JPK, CIDB berjalan mengikut apa yang ditetapkan serta merangka program kemahiran kepada banduan Juvana dan banduan muda. 
 3.         SEKSYEN RAWATAN 
 Merawat dan memulihkan kecergasan jasmani, rohani dan psikologi banduan dan tahanan supaya mereka dapat kembali menjadi warganegara yang produktif dan bertanggungjawab. Ianya juga mewujudkan persekitaran yang sihat dan bebas dari gejala dadah di dalam penjara supaya banduan/tahanan/penghuni dapat menjalani kehidupan yang normal. 
 Seksyen ini mengandungi 3 seksyen utama iaitu :
 i.         Seksyen Kesihatan
 ii.       Seksyen Rawatan
 iii.      Seksyen Agama
 3.1       Seksyen Kesihatan 
 Pengurusan kesihatan di dalam sesebuah institusi penjara merupakan salah satu aspek yang perlu diberi perhatian. Keadaan fizikal penghuni penjara yang sihat dan persekitran yang bebas dari wabak penyakit turut menyumbang ke arah mengekalkan ketenteraman dan keselamatan di dalam sesebuah penjara. Kemudahan klinik di dalam penjara, doktor panel dan pembantu perubatan di penjara adalah untuk memberi perkhidmatan rawatan segera sementara mendapatkan rawatan selanjutnya oleh pihak hospital luar sekiranya perlu. 
 Pengurusan Banduan HIV/AIDS 
 Bagi penghuni penjara pembawa virus HIV ataupun pengidap HIV/AIDS, pengurusan penghuni HIV/AIDS di penjara pada dasarnya berpandukan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, sama ada dari aspek penjagaan kesihatan mereka mahu pun dalam aktiviti kawalan jangkitan. Bagi semua penghuni yang dikesan sebagai pembawa virus HIV positif akan ditempatkan di bangunan khas, berasingan dari penghuni yang tidak dijangkiti virus HIV, dengan mengambil kira kepentingan kesihatan penghuni lain (kawalan jangkitan). Walaubagaimana pun pengasingan ini lebih bertumpu pada waktu malam hari (tidur), pada waktu siang mereka dibenarkan melibatkan diri dalam aktiviti harian dalam program pemulihan dengan syarat-syarat tertentu, seperti tidak dibenarkan bekerja di dapur, bengkel yang menggunakan peralatan tajam, sukan lasak dan aktiviti lain yang boleh menyebabkan kecederaan. 
 3.2       Seksyen Rawatan
 i.          Unit Anti Dadah 
 Ujian Pengesanan Dadah 
 Pada dasarnya Jabatan Penjara Malaysia sangat memandang serius terhadap masalah penyeludupan dan penagihan dadah di dalam penjara. Antara strategi untuk menangani masalah ini ialah operasi ujian air kencing mengesan kandungan dadah. Hasil pengesanan dadah dalam air kencing dijadikan sebagai petunjuk, berlakunya kegiatan penyeludupan dan penagihan dadah dalam penjara, maklumat pengesanan dadah akan digunapakai untuk tujuan tindakan 'pemulihan' mengikut Peraturan Penjara dan Akta Dadah. Tindakan disiplin akan dikenakan  ke atas banduan atau mana-mana kakitangan yang terlibat. 
 ii.                   Unit Kaunseling 
 a.  PERKHIDMATAN  KAUNSELING  JABATAN  PENJARA  MALAYSIA
 PENGENALAN  : 
 ·         Perkhidmatan  Kaunseling  di  Jabatan  Penjara  Malaysia  bermula  dengan  daya  usaha Ketua  Pengarah  Penjara  Malaysia  Y. Bhg.  Dato  Ibrahim  bin  Hj.  Mohamed  memperkenalkan  perkhidmatan  ini  pada  penghunjung  1980.
 ·        Tenaga  pengajar  seramai  dua  orang  pakar  kaunseling  daripada  Amerika  dibawah  The  Bureau  For  The  International  Narcotics  and  Law  Enforcement  (INL)  US  Department  of  State  telah  didatangkan  khas  untuk  memberikan  latihan  khusus  kepada  Pegawai – pegawai  Penjara  dalam  bidang  Kaunseling.
 ·         Kursus  selama  satu  tahun  secara  berperingkat  sebanyak  tiga  siri  telah  dijalankan  melibatkan  seramai  169  orang  Pegawai  Penjara. Pada  16.05.1981   pegawai – pegawai  yang  telah  dilatih  mula  mempraktikan  perkhidmatan  kaunseling  kepada  program  pemulihan  banduan
 ·        Hingga  kini  ada  diantara  pegawai – pegawai  tersebut  telah  melanjutkan  pengajian  sehingga  ke  peringkat  Diploma  dan  Ijazah  Kaunseling  di  Universiti  Kebangsaan  Malaysia  dan  lain – lain  pusat  pengajian  tinggi.
 ·         Aktivti  Kaunseling  yang  dijalankan  meliputi  : 
 1.       Kaunseling  Individu
 2.       Kaunseling  Kelompok
 3.       Kaunseling  Keluarga 
 b.  TC  DI  JABATAN  PENJARA  MALAYSIA 
 Pada  tahun  1990, seorang  pegawai  kanan  Jabatan  Penjara  Malaysia  iaitu  ketika  itu  Penolong  Penguasa  Penjara  Amir  Shariffuddin  Bin  Abd.  Majid, telah  dihantar  berkursus  selama  satu (1)  tahun  di  Parksville  Facility,  DAYTOP  VILLAGE  INTERNATIONAL, New  York , U.S.A.  di  dalam  mempelajari  kaedah  program ‘self-help’ iaitu  Program  Therapeutic  Community (TC). Sekembalinya  beliau  dari  kursus  tersebut, satu  kertas  cadangan  telah  dibuat  untuk  menjalankan  program  TC  di  sebuah  institusi  sebagai  projek  percubaan. Pada  01  September  1992  sebuah  institusi  telah  dipilih  untuk  menjalankan  projek  percubaan  tersebut  iaitu  di  Penjara  Pusat  Selangor ( RPD ). Projek  percubaan  ini  dimulakan  dengan  43  orang  banduan. Setelah  dua  tahun  berjalan  didapati  projek  percubaan  ini  berjaya  dan  mendapat  maklum  balas  yang  positif  dari  orang  banduan  yang  mengikutinya. Kini  terdapat  sebanyak  13  buah  institusi  penjara  menjalankan  Modul  Pesalah  Dadah  kaedah  Therapeutic  Community  dan  sejak  dilaksanakan  pada  tahun  1992  seramai  4,391  penghuni  telah  mengikuti  program  ini. Seramai  11  pegawai  penjara  telah  dilatih  di  DAYTOP  Village  International, New  York   di  dalam  bidang  ini  pada  masa  kini. Keberkesanan  kaedah  Therapeutic  Community  di  dalam  merawat  pesalah  dadah  di  dalam  Jabatan  Penjara  Malaysia  sejak  ditubuhkan  sehingga  tahun  2002  secara  keseluruhannya  adalah  sebanyak  76.5%. 
 MATLAMAT  MODALITI  TC 
 Matlamat  pemulihan  TC  berasaskan  kepada  beberapa  teras  utama. Di antaranya  seperti  berikut : 
 i)        Mengarahkan  dan  membentuk  penagih – penagih  dadah  kepada autonomi supaya  dapat  berdiri  di atas  kaki  sendiri.
 ii)             Membantu  penagih – penagih  mencapai  tahap  kedewasaan  dan  boleh  bertanggungjawab  serta  tahu  erti  kata  sebenar  siapa  mereka , apa  yang  dikehendaki  dan  ke  mana  arah  tujuan  hidup.
 iii)              Melatih  menghormati  dan  sensitif  kepada  perasaan  sendiri  dan  orang  lain  yang  ianya berkait  rapat  dengan  pemikiran  dan  tingkahlaku  terutama  yang  membawa  kepada  kemudaratan  diri
 iv)                 Mengurangkan  pemusatan  diri  atau  menggambarkan  diri  yang  sentiasa  kalah (self – defeating  outlook)  dan  seterusnya  kepada  penampilan  kendiri  yang  lebih  baik  dan  realistik
 v)                  Memeriksa  dan  membantu  penagih – penagih  dadah  menukar  beberapa  kepercayaan  atau  nilai  asas  (basic  values)  terutama  nilai – nilai  yang  tidak  rasional  yang  boleh  menyebabkan  gangguan  minda  kepada  yang  lebih  rasional  dan  produktif.
 vi)                 Melatih  penagih – penagih  berkonfrontasi  tanpa  alasan  sesama  mereka. 
 Kesimpulannya, matlamat  di  atas  menjurus  kepada objektif  Jabatan  Penjara  iaitu   memulih    akhlak  dan  mengubah  sikap  penagih – penagih  supaya  mereka  dapat  kembali  ke  pangkuan  masyarakat  sebagai  warganegara  yang  bertanggungjawab  dan  produktif. 
 KONSEP  PEMULIHAN  TC  PENJARA  MALAYSIA 
 Modaliti  TC  Penjara  Malaysia  mempunyai  ciri – ciri  yang  tersendiri. Keberkesanan  dan kekuatan  TC  terletak  pada  konsep  pemulihannya  yang  lebih  tertumpu  kepada  aspek  psikologi. Di  antara  konsep – konsepnya  ialah : 
 ·       Berorientasikan  keluarga /  famili
 ·        Melalui  pengalaman  hidup  yang  sebenar  semasa  didalam  proses  rawatan dan  pemulihan
 ·           Penghuni  saling  bekerjasama  dan  membantu  antara  satu  sama  lain
 ·       Mengenal  dan  menjalin  antara  perasaan  (feelings), pemikiran (thoughts) dan  tingkahlaku  (behaviour)  seterusnya  berusaha  mengubah  gaya  hidup  lama  kepada  gaya  hidup  yang  lebih  produktif
 ·    Konfrontasi  di  antara  sesama  penghuni  dan  kakitangan  . Setiap  kakitangan  dan  residen  sebagai  “role  model”
 ·        Penggunaan  “Tools  Of  The  House”  yang  seragam  di  semua  fasiliti  TC. Ianya  merupakan  alat  bagi  memodifikasikan  tingkahlaku  penghuni. Alatan  tersebut  amat  penting  bagi  residen  mencapai  explorasi  dan  penemuan  kendiri (self  exploration, self – discovery)  dan  seterusnya  mencapai  tahap  “self -  mastery”. 
 Empat (4)  komponen  TC  yang  penting  iaitu : 
 i)              Pengurusan  Modifikasi  Tingkahlaku
 ii)            Perkembangan  Emosi  dan  Psikologi
 iii)           Perkembangan  Intelektual  dan  Kerohanian
 iv)         Perkembangan  Kemahiran  Vokasional  dan  Kemahiran  Hidup   (Survival  Skills) 
 3.3       Seksyen Agama 
 Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan banduan melakukan kesalahan kerana mereka mempunyai didikan akhlak yang rendah. Ketiadaan kekuatan akhlak dan pendidikan agama yang teguh menyebabkan mereka tiada pedoman dan tidak teragak-agak untuk melakukan kesalahan. Menyedari hakikat bahawa pendidikan agama adalah merupakan unsur penting dalam program pemulihan, maka pendidikan agama telah disediakan mengikut agama yang mereka anuti disediakan seperti pengajaran dan pendidikan agama Islam, agama Kristian, agama Hindu dan Buddha. Penceramah-penceramah dan guru-guru agama yang berkelayakan juga dipilih untuk memberi ceramah kesedaran secara berjadual dan berterusan demi mengembalikan akhlak mereka.