Segi Tiga Emas: Perniagaan Narkotik di Asia Tenggara |
16/02/2009 |
Roy Anthony Rogers Utusan Malaysia, |
Faktor penyumbang muncul pusat dadah dunia
SEJAK puluhan tahun, kerajaan Malaysia mengisytiharkan bahan itu sebagai musuh nombor satu negara dan melabelnya sebagai najis memandangkan kesannya yang sangat teruk kepada penagih sehingga boleh membawa maut.
Persoalannya, dari manakah bahan haram itu diseludup dan dijual kepada rakyat negara ini sehingga ramai yang terjebak sebagai penagih seterusnya, menjadi beban yang perlu ditanggung oleh keluarga, masyarakat dan kerajaan?
Mungkin persoalan di atas dapat dijawab oleh buku yang diusahakan oleh ahli akademik Universiti Malaya (UM) yang menganalisis perkembangan perniagaan narkotik di kawasan Segi Tiga Emas atau The Golden Triangle yang terletak tidak jauh dari Malaysia iaitu di timur laut Myanmar, utara Thailand dan barat daya Laos. Kawasan itu merupakan pengeluar candu dan heroin yang paling utama di Asia Tenggara dan antara yang terbesar di dunia.
Penerbitan buku ini mungkin dapat memberi gambaran menyeluruh berkenaan perkembangan perniagaan narkotik di Segi Tiga Emas dan dampaknya kepada politik dan keselamatan antarabangsa termasuk Malaysia. Buku ini membincangkan masalah dan kawasan pengeluaran dadah Asia Tenggara serta faktor-faktor yang mempengaruhi pengeluarannya yang sebahagian besar melibatkan Myanmar.
Antara faktor pendorong kepada pengeluarannya ialah kawasan itu sangat subur untuk penanaman pokok popi yang menghasilkan dadah, hasil jualan popi yang sangat lumayan, di samping kemampuan kerajaan mereka membanteras aktiviti narkotik yang dilihat begitu terhad.
Evolusi perkembangan Segi Tiga Emas di samping melihat impak politik dunia seperti Perang Dingin ke atas kemunculan kawasan itu turut dihuraikan.
Analisis menunjukkan percaturan politik antara kuasa-kuasa besar ketika Perang Dingin, peranan raja-raja dadah, masalah pemberontakan dan konflik etnik di Myanmar adalah faktor penyumbang kepada kemunculan Segi Tiga Emas itu.
Roy Anthony Rogers mengenal pasti dua punca utama mengapa wujud kawasan itu. Pertama, percaturan politik oleh kuasa-kuasa besar semasa Perang Dingin. Sejarah menunjukkan kawasan itu pada awalnya dikuasai oleh pihak penjajah seperti British dan Perancis, diikuti tentera Koumintang yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS).
Melalui Agensi Perisikan Pusat (CIA), AS rela membantu tentera Koumintang di sempadan Myanmar-China semata-mata untuk mengimbangi kekuatan Parti Komunis China serta rancangan untuk menawan negara tembok besar itu.
Punca kedua ialah masalah pemberontakan dan etnik di Myanmar. Masalah perniagaan narkotik di Myanmar tidak akan selesai selagi kerajaan negara itu tidak mampu menyelesaikan masalah etnik dan pemberontakan.
Daripada satu aspek, walaupun penulis buku ini tidak menyentuh mengenai Malaysia secara khusus namun, isu ini sangat penting kerana Segi Tiga Emas begitu hampir dengan negara ini.
Mungkinkah apa yang dipaparkan oleh media massa mengenai kejayaan pasukan polis dan kastam negara ini merampas dadah dan menahan individu atau kumpulan yang terbabit dengan penyeludupan majis itu ke negara ini dibawa dari kawasan itu.
Judul: Segi Tiga Emas: Perniagaan Narkotik di Asia Tenggara
Pengarang: Roy Anthony Rogers
No comments:
Post a Comment